Ucapan Hari Guru
----Pada setiap tahun, tarikh 16 mei merupakan hari yang kita tunggu-tunggu. Pada hari ini, para guru meraikan Hari Guru. Hari guru disambut oleh seluruh rakyat Malaysia khususnya warga sekolah untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada guru-guru. Selain itu, tujuan yang paling utama adalah untuk memperingati perjuangan dan pengorbanan guru kepada kita.
----Kami berasa amat bertuah kerana mendapat guru-guru yang bertanggungjawab dan ikhlas terhadap kerjaya masing-masing. Kami dapat merasakan guru-guru sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit semata-mata untuk menjadikan kami manusia yang cemerlang, gemilang dan terbilang apabila dewasa kelak. Sebagaimana kata pepatah, guru diibaratkan sebatang lilin yang membakar diri demi menerangi orang lain.
----Tidak dapat disangkal lagi, semua guru yang ada di sekolah kita dapat diibaratkan seperti ibu bapa yang mengasuh dan mendidik anak bangsa. Bukan mudah untuk menjadikan kita semua insan yang berpendidikan dan berakhlak mulia, banyak cabaran yang harus dilalui khasnya daripada pihak murid mahupun ibu bapa. Merekalah yang bakal menentukan sama ada negara kita mundur atau maju.
----Akhir kata, sempena sambutan Hari Guru tahun ini, saya sebagai wakil murid ingin mengucapkan selamat Hari Guru kepada semua guru khususnya guru-guru di sekolah ini. Pada kesempatan ini juga saya ingin melahirkan rasa hati kami bahawa segala jasa yang dicurahkan kepada kami sukar untuk kami mambalasnya. Hanya Yang Maha Berkuasa dapat membalasnya. Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment