Warga Tua Perlu Disayangi
---->Pada 6 Oktober setiap tahun, sambutan Hari Warga Tua peringkat kebangsaan diadakan. Sambutan ini merupakan satu pengiktirafan kepada golongan tersebut agar mereka tidak lagi dilihat sebagai satu golongan yang membawa beban. Tanggapan sebegini haruslah dikikis, malahan golongan muda haruslah menghargai jasa mereka selama ini. Semua agama mewajibkan agar golongan muda menghormati dan menghargai segala jasa baik golongan tua.
---->Kita perlu sentiasa beringat bahawa kita juga akan menjadi tua dan pada suatu ketika nanti, kita juga mahu agar orang lain menghormati dan menyayangi diri kita. Apakah sumbangan yang boleh diberikan oleh warga emas ini? Bagi generasi muda, mereka masih bergantung harap kepada golongan tua dalam memberikan nasihat dan tunjuk ajar dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh mencabar ini. Tanpa tunjuk ajar dan nasihat dari mereka, generasi muda akan mudah goyah dan diperalatkan oleh anasir luar yang mempunyai niat yang jahat.
---->Di samping itu, warga tua juga sebenarnya boleh menyumbang sedikit tenaga dengan melakukan kerja-kerja yang bersesuaian dengan kemampuan mereka. Contohnya, seorang bekas guru boleh mengajar kelas tambahan kepada pelajar-pelajar di kawasan kejirannannya. Bukan itu sahaja, bekas-bekas guru agama boleh juga mengajar bacaan al-Quran kepada anak-anak di sekitar rumahnya. Beberapa contoh yang disebutkan di atas hanyalah beberapa saranan yang boleh dijadikan panduan bagi warga emas untuk terus memberikan sumbangan kepada negara, bangsa dan agama.
---->Kesimpulannya, proses penuaan merupakan satu perkara semulajadi. Tidak ada sesiapa pun yang dapat lari daripada proses ini. Walaupun meningkat usia, sebenarnya kita masih mampu memberikan sumbangan-sumbangan yang tertentu kepada bangsa, agama dan negara. Marilah kita bersedia mulai sekarang untuk menghadapi usia emas dengan penuh gemilang.
No comments:
Post a Comment